
POLIS MELAKA TUMPASKAN SINDIKET PENIPUAN KERJA SAMBILAN DALAM TALIAN PALSU
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata serbuan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu menahan suspek berusia antara 32 hingga 38 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.
“Dipercayai kesemua mereka aktif dengan kegiatan terbabit sejak Mac tahun ini dengan menyasarkan mangsa warga China.
“Polis turut merampas satu unit komputer riba dan tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama. Hasil siasatan mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata ketiga-tiga suspek direman empat hari bermula 8 hingga 11 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pendapatan lumayan dalam tempoh singkat. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.