
POLIS MELAKA TURUN KE SEKOLAH BERMULA KHAMIS INI
AYER KEROH 20 Oktober – Polis Melaka akan melaksanakan lawatan mengejut ke sekolah-sekolah di seluruh negeri bermula Khamis, sebagai usaha memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan harmoni.
Ketua Polis Melaka, Dato’ Dzulkhairi Mukhtar berkata, inisiatif itu seiring dengan saranan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menekankan kepentingan kehadiran polis di sekolah bagi membentuk suasana pembelajaran yang selamat antara warga pendidik dan pihak berkuasa.
Menurut beliau, pelaksanaan lawatan berkenaan akan dibuat secara rawak di semua daerah tanpa mengira latar belakang sekolah.
“Kita akan santuni semua sekolah, bukan semata-mata kerana isu disiplin. Tujuannya untuk mendekati pelajar dan guru, serta membina kepercayaan antara polis serta komuniti sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam di Batu Berendam, di sini, hari ini.
Tambah beliau, program itu akan dijalankan melalui sesi libat urus dan interaksi santai bersama pelajar serta guru bagi meningkatkan kefahaman tentang peranan polis dalam menjaga keselamatan awam.
“Sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan berasrama penuh turut menjadi antara fokus awal kerana institusi ini berperanan besar membentuk sahsiah dan nilai moral generasi muda.
“Kehadiran polis bukan untuk menguatkuasakan undang-undang, tetapi untuk mendidik tentang keselamatan diri dan tanggungjawab sivik,” katanya.
Katanya lagi, kehadiran anggota polis di sekolah diharap dapat mengukuhkan persefahaman serta menghapuskan persepsi negatif terhadap kehadiran mereka di kawasan pendidikan.
Sabtu lalu (18 Oktober), Menteri Dalam Negeri mengumumkan strategi baharu keselamatan di sekolah dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara menyeluruh, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri untuk menjadikan kehadiran polis sebagai pendekatan berstruktur dalam menangani isu disiplin, buli dan keselamatan siber di kalangan pelajar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.