
POLIS TAHAN TIGA LELAKI JUAL MC PALSU DI SUNGAI PETANI
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata modus operandi kumpulan itu adalah dengan menawarkan MC tanpa pesakit perlu mendapatkan rawatan daripada doktor.
“Suspek utama dipercayai menjalankan aktiviti ini bersama dua lagi lelaki berusia lingkungan 30-an, yang bertindak sebagai ejen mencari ‘pembeli’.
“Dalam siasatan berkaitan pelanggaran integriti dan disiplin, seorang anggota polis berpangkat rendah didapati kerap mengemukakan MC. Siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan kegiatan penjualan MC palsu ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan di sebuah premis di Taman Songket Indah dekat sini pada pukul 4.30 pagi, 26 Jun lepas, polis merampas pelbagai peralatan termasuk kira-kira 20 keping MC palsu, tablet, cop nama doktor, kertas A4, komputer riba dan mesin pencetak.
Hanyan berkata ketiga-tiga suspek yang merupakan penganggur dipercayai memperoleh pendapatan dengan menjual MC palsu pada harga antara RM25 hingga RM30 bagi setiap hari cuti.
“Sasaran utama penjualan MC palsu ini adalah dalam kalangan penjawat awam. Anggota polis yang dikesan mengemukakan MC palsu dipercayai mendapatkan sijil tersebut daripada suspek di sebuah kedai makan berhampiran hospital,” katanya.
Beliau berkata, suspek utama juga merupakan pesakit jantung yang masih menerima rawatan di hospital.
“Setiap kali menerima rawatan, suspek akan mengingati nama doktor yang merawatnya untuk digunakan pada cop nama. Kebanyakan nama yang digunakan adalah nama doktor sebenar, namun jawatan yang tertera pada cop itu adalah tidak tepat,” jelasnya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.