Sorting by

×

POLIS TINGKAT KAWALAN KESELAMATAN DI SEMUA FASILITI PETRONAS

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDA HILIR 9 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkat kawalan keselamatan di fasiliti milik Petronas seluruh negara termasuk Sarawak susulan ugutan yang diterima seorang pegawai kanan syarikat minyak dan gas nasional itu baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan awal mendapati mesej berbaur ugutan berkenaan dihantar melalui aplikasi mesej menggunakan nombor luar negara.

Katanya, ugutan tersebut memberi tumpuan terhadap beberapa fasiliti strategik syarikat berkenaan di Bintulu, Sarawak

“Kita telah mengesan mesej tersebut dan mengesahkan ia datang menggunakan nombor antarabangsa. Justeru, saya telah mengarahkan kontinjen yang mempunyai fasiliti Petronas supaya mempertingkatkan kawalan keselamatan dengan kerjasama agensi keselamatan dalaman syarikat.

“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan polis, malah perlu disokong oleh semua lapisan keselamatan yang ada di Petronas sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 dan Mesyuarat Berkaitan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata pihak polis tidak memandang ringan ancaman seumpama itu kerana Petronas merupakan aset strategik negara yang perlu dilindungi sepenuhnya.

“Kita tidak menganggap ugutan ini tertumpu kepada negeri tertentu, sebaliknya semua fasiliti akan dipantau dan tindakan segera akan diambil bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan termasuk menjejaki pihak yang bertanggungjawab menghantar mesej berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2301
Kongsi :
Previous post EMPAT ISU UTAMA JENAYAH RENTAS SEMPADAN TUMPUAN AMMTC KE-19