Sorting by

×

POLIS TUMPASKAN GENG YOE GOMEN, AKTIF SAMUN SEKOLAH DAN PEJABAT KERAJAAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MELAKA 26 Jun – Tiga ahli Geng Yoe Gomen yang aktif memecah masuk sekolah dan pejabat kerajaan sejak April lalu diberkas polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Kling, 21 Jun lalu.

Ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada jam 1.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan suspek untuk melakukan aktiviti jenayah seperti dua pemutar skru, sarung tangan, enam telefon bimbit pelbagai jenama dan dua motosikal.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang menganggur itu mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah, mereka aktif melakukan kegiatan samun di pejabat kerajaan serta sekolah sejak empat bulan lalu.

“Mereka akan memecah masuk bangunan tersebut antara jam 1 hingga 3 pagi melalui pintu belakang dan hanya mencuri wang tunai dalam premis terbabit. Setakat ini, enam sekolah dan dua pejabat kerajaan di Melaka Tengah menjadi sasaran mereka dengan jumlah kerugian keseluruhannya sekitar RM9,200.” katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil samun yang diperolehi digunakan untuk membeli motosikal yang kemudian digunakan semula dalam aktiviti jenayah.

“Siasatan lanjut mendapati mereka juga terbabit kes pecah masuk bangunan iaitu dua di daerah Alor Gajah dan satu di daerah Jasin. Mereka ini juga didapati melakukan jenayah sama di Kelantan, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, secara keseluruhan enam kes dilaporkan luar daerah Melaka Tengah.

“Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari sehingga Khamis untuk siasatan lanjut dijalankan mengikut 457 Kanun Keseksaan” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post KPT SERAH SIASATAN PROTES MAHASISWA UMS KEPADA PIHAK BERKUASA
Next post JAMBU BATU, NANAS MD2 PERCUMA BUAT PENGUNJUNG HARI PERTAMA MELAKA AGROFEST 2025