
PORTUGAL IKTIRAF MELAKA NEGERI UNIK, KAYA KEPELBAGAIAN BUDAYA
AYER KEROH 21 Januari – Portugal mengiktiraf Melaka sebagai sebuah negeri unik yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan etnik.
Ia memandangkan negeri bersejarah ini memiliki Perkampungan Portugis yang menjadi warisan tersendiri dan tidak terdapat di tempat lain.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Duta Besar Portugal ke Malaysia Luiz Manuel de Albuquerque Veloso ketika mengadakan kunjung hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut Ketua Menteri, pada sesi kunjung hormat itu, Kerajaan Negeri menyambut baik potensi kerjasama strategik yang boleh diperkukuh antara Kerajaan Portugal dan Negeri Melaka, khususnya dalam bidang budaya dan bahasa.
“Berkongsi lipatan sejarah yang panjang dan signifikan, Kerajaan Negeri Melaka melihat kerjasama ini sebagai pemangkin kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Terdahulu, sesi kunjung hormat itu turut disertai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Konsul Kehormat Portugal Dato’ Mohamed Noor Sany Mohamed Noor Khan.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri menerusi Institut Tun Perak akan meneroka pelbagai peluang menerusi jalinan kerjasama untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, artifak serta bahan sejarah yang bernilai tinggi.
“Ini demi memperkasa khazanah sejarah dan warisan Negeri Melaka untuk generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

