
POTONGAN 50 PERATUS SAMAN PDRM DI PMR 2025 MELAKA
MERLIMAU 7 Oktober – Potongan 50 peratus bagi saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi antara tarikan yang dibawakan pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka pada 17 hingga 19 Oktober ini.
Tawaran istimewa selama tiga hari itu diadakan bermula jam 9 pagi bertempat di Politeknik Merlimau Melaka.
PMR 2025 Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, potongan tersebut bagaimanapun hanya membabitkan saman terpilih PDRM.
“Pembayaran hanya boleh dibuat di tapak program PMR 2025 Melaka berlangsung iaitu di Politeknik Merlimau.
“Tawaran eksklusif ini hanya ditawarkan selama tiga hari dan ia lebih cepat, mudah dan berbaloi untuk orang Melaka,” kata kenyataan itu.
Untuk rekod, Melaka merupakan lokasi penutup PMR 2025, sesuai dengan reputasinya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, selain kaya dengan warisan dan budaya.
PMR 2025 Melaka bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, di mana ia memberi penekanan kepada komitmen mempertahankan tanah air melalui prinsip Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), Pertahanan Bersama dan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS).
Edisi terakhir ini bakal menampilkan pengisian yang lebih segar, inklusif dan bersasar, dengan memberi fokus kepada keperluan komuniti setempat.
Antara tarikan utama termasuklah reruai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan Negeri, inisiatif kesejahteraan komuniti, Jualan MADANI, pameran ketenteraan dan pertunjukan payung terjun; perkhidmatan kesihatan percuma, tawaran peluang pekerjaan, program pertukaran topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), konsert yang menampilkan barisan artis popular tanah air, kenduri rakyat dan petting zoo.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan pada 19 Oktober, bersama barisan pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.