Sorting by

×

PPDK DI MELAKA DISARAN JANA PENDAPATAN SENDIRI – KAK SOM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KLEBANG 9 Oktober – Semua Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Melaka disaran supaya berusaha menjana pendapatan sendiri dengan melalui aktiviti kemahiran pelatih.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, anak-anak istimewa di PPDK perlu digalakkan untuk memanfaatkan kelebihan yang mereka miliki agar mampu berdikari dan tidak disisihkan oleh masyarakat.

“Itu hasrat kita, kalau boleh jangan simpan anak-anak istimewa yang ada kelebihan ini. Saya nasihatkan kepada semua ibu bapa, jangan sembunyikan anak-anak istimewa di rumah.

“Dulu ada yang malu dan menyorokkan anak mereka, tetapi alhamdulillah kini sudah ada 18 PPDK di Melaka, ia menunjukkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat semakin baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Penyerahan Kad OKU Digital dan Sambutan Hari Lahir Pelatih-Pelatih PPDK Kampung Pinang sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.

Kalsom berkata, peningkatan kesedaran itu turut disokong dengan kenaikan elaun petugas PPDK daripada RM150 kepada RM300 yang diumumkan kerajaan bagi membantu pengurusan pusat-pusat berkenaan.

“Sekarang sudah ada 18 PPDK di Melaka, malah saya percaya jumlah ini akan terus meningkat apabila lebih banyak pusat berdaftar diwujudkan.

“Ada pusat menempatkan 25 hingga 30 pelatih, tetapi di Kampung Pinang ini ada sehingga 75 orang. Ini menunjukkan permintaan dan keperluan yang tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

704
Kongsi :
Previous post KES INFLUENZA A DI MELAKA TERKAWAL – EXCO
Next post LELAKI MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG PENUNGGANG LAWAN ARUS DI SUNGAI UDANG