Sorting by

×

PPPKAM SOKONG USUL LARANGAN VAPE DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Negeri Melaka (PPPKAM) menyokong sepenuhnya cadangan larangan atau penghentian penjualan rokok elektronik (vape) di Negeri Melaka seperti yang diusulkan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

PPPKAM dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu penting memandangkan data semasa menunjukkan peningkatan kes penyakit berkaitan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan vape.

Malah, ujar kenyataan itu, trend atau penyebaran amalan itu dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah juga semakin serius saban hari.

“Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 30 September 2024 menunjukkan sebanyak 41 kes penyakit ‘E-cigarette’ or ‘Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI) telah dilaporkan di negara ini dengan kos rawatan dianggarkan sebanyak RM150,892.11 bagi setiap pesakit.

“Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 pula, kadar penggunaan vape dalam kalangan remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun telah meningkat daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022.
“Lebih membimbangkan, hampir separuh (48.5 peratus) daripada remaja pengguna vape dilaporkan mula menggunakannya sebelum usia 14 tahun,” kata kenyataan tersebut.

Tambah PPPKAM, trend yang berlaku itu menunjukkan satu keperluan mendesak untuk langkah pencegahan yang lebih efektif, khususnya dalam melindungi golongan muda daripada kesan jangka panjang terhadap kesihatan paru-paru.

Selain itu, persatuan itu turut berkongsi laporan hasil siasatan Polis Melaka ke atas cecair vape mendapati ada di antaranya mengandungi bahan terlarang seperti psikoaktif dan dadah sintetik.

“Ini menunjukkan potensi penyalahgunaan vape yang melampaui sekadar penggunaan nikotin.

“Malah, Polis Melaka turut mengemukakan kertas cadangan kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk mengharamkan penjualan vape sebagai langkah membendung ancaman dadah sintetik yang disalahgunakan melalui rokok elektronik,” tambah kenyataan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1175
Kongsi :
Previous post MELAKA SUMBANG 76 EKOR LEMBU KORBAN SEMPENA AIDILADHA
Next post MELAKA PERLU RM900 JUTA TUKAR PAIP USANG – SAMB