
PPSPM CEMERLANG SEBAGAI AGENSI PELANCONGAN MELAKA BERDAYA SAING
BANDARAYA MELAKA 14 Disember – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) membuktikan keupayaan sebagai antara agensi paling berdaya saing apabila dinobatkan sebagai penerima Top Performance Award pada Majlis Makan Malam The Corporate Gala Night 2025, pada Jumaat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, pengiktirafan yang diterima PPSPM itu adalah hasil usaha keras seluruh pasukan yang sentiasa komited
dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab sehingga berjaya merekodkam keuntungan konsisten sepanjang tahun.
Katanya, anugerah itu seterusnya mengukuhkan kedudukan agensi itu sebagai peneraju utama produk pelancongan berasaskan air di Melaka.
“PPSPM akan terus komited memastikan produk pelancongan berasaskan air kekal menjadi tarikan utama, sekali gus menambah nilai kepada pengalaman pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya kepasa Melaka Hari ini.
Terdahulu, majlis tersebut telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar turut merakamkan penghargaan tahniah kepada semua organisasi yang menerima pengiktirafan pada majlis tersebut.
Jelasnya, majlis berprestij itu bertujuan menghargai agensi serta syarikat yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun, termasuk dari aspek pengurusan, pencapaian keuntungan dan sumbangan kepada pembangunan negeri.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri serta seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri di atas sokongan berterusan dalam memperkasa pembangunan agensi dan syarikat di negeri ini.
“Sokongan ini disifatkan sebagai pemangkin utama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan, membuka lebih banyak peluang pelaburan dan memastikan Melaka kekal sebagai destinasi pelancongan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


