Sorting by

×

PPSPM LAKSANA INISIATIF HIJAU, SEMAI BUDAYA CINTAI ALAM SEKITAR

Masa Membaca:59 Saat

DUYONG 30 Januari – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) melaksanakan aktiviti penanaman pelbagai jenis pokok di sekitar perkarangan pejabatnya di Pengkalan Rama, di sini, sebagai usaha menyokong agenda kelestarian alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, inisiatif itu membabitkan penanaman 10 jenis pokok, meliputi pokok berbuah dan pokok landskap untuk menghijaukan kawasan sekitar.

Katanya, program penanaman pokok yang dilakukan secara santai itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan usaha berterusan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang hijau dan kondusif.

“Program ini juga dilihat dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selesa pada masa akan datang di samping memupuk kesedaran warga kerja PPSPM terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.

“Langkah ini juga mencerminkan komitmen PPSPM dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar selaras dengan dasar pembangunan mampan negeri Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut Shaharul Azuar berkata, inisiatif seumpamanya akan diteruskan dari semasa ke semasa, di mana PPSPM mengambil tanggungjawab dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam semula jadi.

“Akan datang, diharapkan pokok-pokok yang ditanam ini dapat memberikan manfaat kepada kita dengan udara nyaman sekali gus memberi mesej penting kepada semua untuk mencintai bumi kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

274
Kongsi :
Previous post LESEN MOTOSIKAL PERCUMA ‘MELAKA SAYANG RAKYAT’ DIBUKA BERMULA MAC
Next post PUTRA 2 MELAKA DIPACU TEKNOLOGI PERUBATAN TERKINI