
PPSPM MAHU TERUSKAN CABUTAN BERTUAH CRUISE MADANI, TAWAR HADIAH LEBIH MENARIK
BANDARAYA MELAKA 4 Januari – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bercadang meneruskan cabutan bertuah Cruise MADANI sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, penganjuran semula program itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan dan ilham Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Jika diberi ilham dan dipersetujui oleh Ketua Menteri, insya-Allah kita akan anjurkan semula cabutan bertuah ini pada 2026 bagi menghargai pengunjung-pengunjung PPSPM,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut beliau, penyertaan cabutan bertuah Cruise MADANI bagi edisi kali ini bermula pada 7 Julai hingga 31 Disember 2025 bagi pengunjung menggunakan mana-mana pakej PPSPM seperti Melaka River Cruise dan Eco-Cruise Sungai Linggi.
“Setiap pengunjung yang berbelanja minimum RM50 layak menyertai cabutan bertuah ini. Proses cabutan pemenang dijalankan secara langsung menerusi media sosial rasmi PPSPM termasuk Facebook dan TikTok sebagai tanda ketelusan.
“Program ini diwujudkan untuk menghargai sokongan pengunjung yang sentiasa bersama kami, selain mahu mendapatkan maklum balas dan cadangan bagi menambah baik perkhidmatan PPSPM,” katanya.
Mengulas mengenai penambahbaikan pada masa akan datang, Shaharul Azuar berkata, PPSPM merancang untuk menawarkan hadiah lebih menarik sekiranya program itu diteruskan.
“Tahun 2025 seramai 100 pemenang dipilih dan insya-Allah kita bercadang menambah sehingga 150 pemenang pada penganjuran akan datang, dengan hadiah utama masih sebuah kereta,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


