
PPSPM, MBSB BELANJA 200 ANAK AYER LIMAU BELI BAJU RAYA
LENDU 8 Mac – Seramai 200 orang anak asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau diraikan dan diberi peluang membeli pakaian baharu pada Program Indahnya Syawal DUN Ayer Limau berlangsung di sebuah pusat menjual pakaian di Pekan Masjid Tanah, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, apa yang menarik adalah, baju raya berkenaan adalah hasil sumbangan anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Melaka Bekal Sdn Bhd (MBSB).
Katanya, ia secara tidak langsung membuktikan kestabilan Kerajaan Negeri yang ada membantu anak syarikat berkembang dan menikmati jumlah keuntungan tahunan yang lebih tinggi.
“Hasil keuntungan dikembalikan kepada rakyat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini atau aktiviti lain yang memberikan manfaat atau pulangan kepada rakyat Melaka.
“Selain itu program dilaksanakan juga selaras dengan inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang mana peserta terpilih adalah anak-anak asnaf yang mana ibu bapa mereka kurang mampu untuk menyediakan Persalinan baharu untuk menyambut Aidilfitri nanti,” katanya ketika ditemui pada Program berkenaan.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris dan Pengurus Besar MBSB Shahfulrizal A Bakar.
Hameed berkata peserta yang dipilih berdasarkan nama yang dicadangkan oleh pihak pengurusan sekolah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Alhamdulillah hasil kestabilan dinikmati anak syarikat dapat menyumbang semula kepada rakyat Melaka, diharapkan nikmat ini berterusan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


