Sorting by

×

PPSPM PERKUKUH TATAKELOLA, INTEGRITI MENERUSI IBR

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Februari – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memperkukuh agenda integriti dan tadbir urus dengan melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, inisiatif itu adalah langkah strategik dalam memastikan tatakelola perbadanan itu diuruskan secara berhemah.

Katanya, lafaz IBR adalah simbolik komitmen organisasi dalam membudayakan nilai integriti, pematuhan tatakelola yang baik serta akauntabiliti dalam setiap lapisan pentadbiran.

“Lafaz ikrar ini bertujuan meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan kakitangan PPSPM bahawa integriti dan tatakelola yang baik akan menjadikan sesebuah institusi khusus agensi Kerajaan Negeri seperti PPSPM untuk ditadbir urus dengan berhemah serta lancar.

“Sebagai agensi Kerajaan Negeri, PPSPM diurus secara profesional, berhemah dan selaras dengan aspirasi tadbir urus sektor awam yang berwibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan PPSPM Serta Majlis Melafaz Dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat Khairunnisa Ibno Masooda dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Datuk Adi Supian Shafie.

Menurut beliau, PPSPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyelewengan atau pelanggaran integriti oleh mana-mana kakitangan perbadanan itu.

“Dalam masa sama kita memberi penegasan bahawa mana-mana salah laku oleh kakitangan PPSPM, kita tidak ada kompromi,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama seramai 11 kakitangan baharu PPSPM turut menandatangani IBR sebagai komitmen untuk menjunjung prinsip integriti, etika kerja dan amanah dalam perkhidmatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

322
Kongsi :
Previous post JADUAL PADAT TAK HALANG TOK RAOP SANTUNI ORANG TANJUNG BIDARA
Next post KOMITMEN AB RAUF TERHADAP KEBAJIKAN RAKYAT TANJUNG BIDARA DIPUJI