Sorting by

×

PRA PELUNCURAN WTD 2025: MBMB TINGKAT KECERIAAN BANDARAYA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 21 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menambah baik keceriaan di bawah kawasan pentadbirannya sebagai persediaan menghadapi pra-peluncuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) awal bulan depan.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, kerja-kerja keceriaan itu akan dilaksanakan pihaknya di lokasi yang telah dikenal pasti, khususnya lokasi penganjuran dan kawasan tumpuan pelancong.

Katanya, selain aspek keceriaan pihaknya turut akan melakukan penambahbaikan ke atas beberapa fasiliti dalam memberikan perkhidmatan terbaik bukan sahaja kepada pelancong tetapi juga rakyat.

“Dalam aspek keceriaan kita akan kekalkan yang sedia ada selain turut akan menambah beberapa lagi keceriaan kawasan.

“Malah untuk fasiliti pula kita dalam proses melakukan penambahbaikan agar fasiliti di bawah MBMB sentiasa kelihatan terjaga.

“Ia untuk memastikan kawasan-kawasan ini lebih ceria selain menunjukkan kita turut sedia menerima kedatangan menteri-menteri dari seluruh dunia yang akan berkampung di Melaka pada September depan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shadan, menjadi tanggungjawab MBMB dalam menyediakan fasiliti dan keceriaan yang berkualiti memandangkan Melaka adalah sebuah negeri pelancongan terkenal.

“Untuk MBMB juga kita kini sedang bersiap siaga dalam memastikan pelbagai program peringkat antarabangsa yang akan berlangsung pada 3,4 dan 5 Julai depan berjalan lancar.

“Sepanjang tiga hari itu bukan sahaja program tetapi pelbagai pameran termasuk pameran kebudayaan dan pertandingan selain penganjuran Rentak Bertandak Antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post KARNIVAL KERJAYA DUN AYER LIMAU TAWAR LEBIH 300 PELUANG PEKERJAAN
Next post INFRASTRUKTUR, JALAN RAYA DI BEMBAN JADI FOKUS WRUR