
PRA-PELUNCURAN WTD 2025 PENUH GILANG-GEMILANG
AYER KEROH 21 Jun – Pra-Peluncuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang diadakan di Perkarangan Stadthuys, Banda Hilir pada 5 Julai depan bakal berlangsung dalam suasana penuh gilang gemilang dan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat World Tourism Melaka (WTM) Norena Jaafar berkata, antara acara tumpuan adalah persembahan penuh warna-warni, selain penampilan artis terkenal tanah air seperti Jaclyn Victor dan Suki Low.
Katanya, bersempena pra-peluncuran itu juga buat julung kalinya, kesemua penari kebudayaan Negeri Melaka akan bergabung di bawah satu bumbung yang dinamakan Unit Kebudayaan Bahagian WTM bagi menghasilkan persembahan yang akan memukau tetamu kehormat serta pengunjung yang hadir.
“Sudah pastinya pada malam itu kita akan bawakan satu persembahan kebudayaan lain daripada yang lain, malah untuk julung kalinya seramai 150 penari bergabung di bawah satu bumbung untuk mempersembahkan persembahan penuh warna-warni.
“Persembahan ini akan bertemakan kebudayaan kerana ketika itu turut berlangsung Rentak Bertandak Antarabangsa, jadi fokus kita lebih kepada elemen tradisional dan budaya.
“Selain itu juga penyanyi terkenal tanah air Jaclyn Victor dan Suki Low akan membuat persembahan dan dianggarkan lebih lima persembahan bakal dipertontonkan termasuk tarian daripada etnik Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menyaksikan latihan yang diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka, di sini.
Menurut Norena, pra peluncuran WTD 2025 itu akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, selain Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, ujarnya, berbaki kurang dua bulan sebelum berlangsungnya kemuncak WTD dan WTC 2025 pada September ini, segala persiapan sudah dibuat dan ia kini berjalan lancar.
Tambahnya, kempen promosi juga sedang giat dijalankan di seluruh negara supaya orang ramai tahu bahawa Malaysia dipilih menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia itu.
“Kita sudah bersedia untuk menerima kedatangan tetamu dari seluruh pelosok dunia dan kita akan pastikan mereka yang datang ke Melaka tidak akan menyesal, bahkan dapat merasai kelainan serta keunikan yang ada di negeri ini.
“Malah sekarang ini juga kita sudah menggerakkan kempen promosi bukan sahaja di Melaka tetapi satu Malaysia tentang apa itu sambutan WTD ini dan manfaat yang akan kita dapat.
“Bersempena WTD juga kita turut anjurkan WorldTourism Xplorace 2025 apabila sebanyak 32 kumpulan akan ‘menjelajah’ sekitar Banda Hilir bagi melengkapkan soalan berkaitan WTD,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.