Premis kerajaan, swasta di Melaka diarah pasang Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 13 Ogos – Kerajaan negeri mengarahkan semua premis kerajaan di negeri ini memasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan ke-65 tahun ini.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya juga menggalakkan semua premis perniagaan dan swasta untuk turut serta mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Melaka menjelang bulan kebangsaan ini kita perlu bersama kibarkan jalur gemilang menerusi semua premis kerajaan dan swasta.

“Kita perlu tunjukkan semangan patriotik sempena sambutan bulan kemerdekaan kita pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merasmikan Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Melaka di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, VP Shanmugam; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis; ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Terdahulu, Hee Sem yang diiringi tetamu yang hadir sempat melakukan gimik pemasangan Jalur Gemilang kepada beberapa kenderaan agensi kerajaan negeri terlibat sebelum melaksanakan simbolik utama perasmian itu dengan aktiviti ‘Berjalan Teguh Bersama’ sambil mengibar dan mengagihkan Jalur Gemilang kira-kira dua kilometer menuju ke dalam kawasan Zoo Melaka.

Dalam pada itu, Hee Sem menambah, kibaran Jalur Gemilang yang dipasang perlu berkedudukan betul agar terus dihormati.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri akan terus memantau perkara berkenaan bagi memastikan tiada premis yang sewenang-wenangnya memasang bendera secara terbalik selepas ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1774
Kongsi :
Previous post Tiada perarakan sempena Hari Kebangsaan di Melaka
Next post Perkukuh perpaduan demi kesejahteraan – KM
Ubah saiz-+=