
PROGRAM BINA BAHARU, BAIK PULIH KEDIAMAN TANDA KEPRIHATINAN LPM
SUNGAI UDANG 29 Mei – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menyediakan sejumlah RM3 juta menerusi peruntukan tahunannya bagi melaksanakan Program Bina Baharu rumah dan Baik Pulih kediaman milik golongan kurang berkemampuan di negeri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, peruntukan tahunan itu membolehkan LPM meneruskan skim bantuan pembinaan rumah baharu secara percuma kepada golongan memerlukan.
“Peruntukan tahunan RM3 juta itu dibahagikan kepada perancangan bina baharu rumah sebanyak RM2 juta dan bakinya RM1 juta untuk baik pulih. Bagi bantuan pembinaan rumah baharu ia ditawarkan kepada individu contoh yang ditimpa bencana seperti kebakaran atau kediaman sudah terlalu usang.
“Sehingga Mei 2025, sebanyak 15 unit rumah selesai dibaik pulih oleh LPM dengan keseluruhan kos berjumlah RM256,750 dilaksanakan di sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka,” katanya.
Rais yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang berkata demikian pada Majlis Penyerahan Rumah Baik Pulih DUN Sungai Udang bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang di Kampung Bertama Ulu, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin.
Menurut Rais, proses baik pulih dilaksanakan menerusi dua kaedah iaitu disalurkan kepada Japerun bagi melantik kontraktor atau LPM akan melantik anak syarikat.
“Alhamdulillah dua kediaman di DUN Sungai Udang selesai dibaik pulih dengan kos berjumlah RM39,800. Selain itu, LPM juga telah menerima dua permohonan menerusi program Baik Pulih, susulan lawatan ziarah kasih diadakan pada 21 Mei lalu yang membabit kos sebanyak RM40,000,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.