
PROGRAM E-DAGANG ‘EASYSTORE’ BANTU 120 USAHAWAN MELAKA TINGKAT JUALAN 20 PERATUS
AYER KEROH 5 Januari – Seramai 120 usahawan tempatan bakal menerima manfaat menerusi Program Pembangunan Usahawan E-Dagang melalui platform ‘Easystore’ bagi memperkasa pemasaran digital selain meningkatkan jualan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin berkata, pemilihan usahawan dibuat berdasarkan kriteria ketat bagi memastikan program itu memberi impak maksimum kepada peserta.
Menurutnya, antara kriteria utama ialah usahawan yang memenuhi definisi PMKS merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, pertanian serta industri asas tani dan peruncitan, selain beroperasi di dalam Negeri Melaka.
“Keutamaan turut diberikan kepada usahawan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau lesen perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sah serta menghasilkan produk yang boleh dikirim dan tidak mudah rosak, khususnya makanan.
“Usahawan terpilih juga perlu menunjukkan komitmen dan kerjasama tinggi bagi memastikan penggunaan platform ‘Easystore’ dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta memberi pulangan kepada ekonomi negeri,” katanya.
Allex Seah berkata usahawan akan menerima latihan menyeluruh di Pusat Sebarang Maklumat Nasional (NADI) terpilih, merangkumi pengurusan kedai dalam talian, pemasaran digital dan pengendalian logistik.
“Latihan ini merangkumi pemantauan stok merentasi pelbagai platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, TikTok dan Facebook, selain pengurusan penghantaran dalam dan luar negara menggunakan perkhidmatan logistik seperti Pos Malaysia, J&T dan DHL.
“Usahawan juga akan dibimbing dalam pengurusan sistem pembayaran dalam talian, sekali gus membolehkan mereka mengendalikan keseluruhan operasi e-dagang secara bersepadu melalui satu platform,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berupa peningkatan jualan sekurang-kurangnya 20 peratus bagi setiap usahawan yang menyertai program tersebut.
“Sebagai contoh, jika jualan usahawan pada tahun 2025 adalah RM10,000, sasaran jualan pada tahun berikutnya ialah sekurang-kurangnya RM12,000 atau lebih.
“Pemantauan berkala akan dilaksanakan dan kajian keberkesanan akan dibuat terhadap syarikat yang gagal mencapai KPI, termasuk menilai peranan konsultan yang melaksanakan program berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


