Sorting by

×

PROGRAM JOM BERKHATAN PERCUMA RINGANKAN BEBAN IBU BAPA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PAYA RUMPUT 29 Disember – Inisiatif berkhatan beramai-ramai bukan sahaja menceriakan kanak-kanak yang bakal melangkah ke alam dewasa, sebaliknya membantu meringankan beban ibu bapa khusus dalam kalangan keluarga B40.

Berikutan itu Program Jom Berkhatan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput 2025 secara percuma di Dewan Masjid As-Solihin, di sini, semalam disambut baik ibu bapa kepada 73 peserta dipilih untuk menyertai aktiviti berkenaan yang juga sebahagian daripada pengisian musim cuti sekolah.

Ibu kepada salah seorang kanak-kanak yang menyertai program ini, Siti Nur Ain Abdul Aziz, 30, memuji inisiatif berkenaan kerana membantu keluarganya berjimat.

“Tahun lalu dua anak saya iaitu pasangan kembar menyertai program ini yang dianjurkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong. Tahun ini, anak saya yang ketiga, Muhammad Zaquwan Haq pula terpilih syukur, alhamdulillah.

“Program seperti ini banyak membantu keluarga kami, lebih-lebih lagi suami saya hanya bekerja sebagai nelayan. Anak-anak juga berasa seronok kerana dapat berkhatan beramai-ramai.

“Jika berkhatan di klinik sudah pasti ada kos, menerusi program ini kami dapat berjimat, wang yang ada boleh digunakan untuk beli keperluan lain termasuk kelengkapan persekolahan anak-anak,” katanya kepada Melaka hari Ini.

Ibu kepada tiga orang anak yang hadir seawal jam 6.45 pagi itu turut menyarankan supaya program itu diteruskan bagi manfaat semua masyarakat, khususnya keluarga yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Muhammad Azrul Yusof, 42, turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas penganjuran program tersebut.

“Program seperti ini sangat bagus, terutamanya untuk golongan B40. Lebih baik sekiranya program ini diadakan secara berterusan agar dapat meringankan beban ibu bapa.

“Terima kasih saya ucapkan kepada YB Rais kerana sudi hadir dan menganjurkan program berkhatan ini,” katanya.

Terdahulu, Program Jom Berkhatan Peringkat (DUN) Paya Rumput 2025 dirasmikan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

532
Kongsi :
Previous post PEMUDA MAUT, RAKAN CEDERA DUA MOTOSIKAL TERLANGGAR LEMBU