
PROGRAM KASIH QURBAN PERDANA MUALAF TUMBANG 10 EKOR LEMBU DAN KAMBING
KESIDANG 8 Jun – Sebanyak lima ekor lembu dan lima ekor kambing dikorbankan pada Program Kasih Qurban Perdana Mualaf Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025.
Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata program korban perdana itu mendapat kerjasama daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyumbang lembu korban.
Katanya, berbeza pada tahun lalu, hanya beberapa ekor lembu sahaja yang dikorbankan di lokasi program selebihnya telah dilaksanakan di rumah penyembelihan.
“10 ekor haiwan korban ini dapat diagihkan kepada hampir 400 mualaf, asnaf serta golongan sasaran.
“Jika terdapat lebihan daging korban pula kita akan laksanakan sunduk untuk diagihkan atau diberikan pada hari mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Kasih Qurban Perdana Mualaf Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di Kompleks Darul Huda, Bahagian Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sini hari ini.
Hadir sama, Pegawai Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam Kompleks Darul Huda MAIM, Mohd Nasir Wahab serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata pelaksanaan ibadah korban itu menggambarkan kemakmuran dan kesyukuran atas limpah kurnia Allah berikan.
“Diharapkan menerusi inadah korban ini dapat menjadi wadah untuk menyantuni kepada masyarakat sekitar khususnya, golongan asnaf, fakir, miskin dan saudara baru.
“Secara tidak langsung program ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara saudara baharu dan lama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.