Sorting by

×

PROGRAM TVET TAHFIZ BAKAL DIPERLUASKAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SELANDAR 8 Julai – Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menyasarkan untuk memperluaskan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz dengan mewujudkan sebuah kampus Ulul Albab mengikut zon.

Ketua Pengarah JTM, Datuk Rospiagos Taha berkata, bermula dengan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) JTM Kampus Selandar yang dijadikan projek printis, Program TVET Tahfiz ADTEC bakal diperluaskan ke lokasi lain.

Rospiagos berkata, sasaran itu selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melahirkan pekerja berkemahiran berpendapatan tinggi khususnya 125,000 huffaz profesional pada 2025.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan JTM memilih ADTEC JTM Kampus Selandar sebagai institusi pertama yang melaksanakan program TVET Tahfiz dengan pengambilan pelajar bermula pada Julai 2024.

“Kita jangkakan selepas ini di setiap zon akan ada satu kampus yang akan dikhususkan 100 peratus untuk TVET Tahfiz.
Jangkaan awal akan bermula di zon timur dalam tahun ini yang mana kerja-kerja telah dilaksanakan awal sebelum ia dapat dijalankan dengan rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mahrajan TVET Tahfiz Dan Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Bersama Rakan Strategik Kolej Teknologi Termaju JTM (ADTEC JTM) Kampus Selandar Tahun 2025 di ADTEC JTM Kampus Selandar, semalam.

Terdahulu, majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dengan diiringi bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.

Menurut Rospiagos lagi, program TVET Tahfiz akan melahirkan lebih ramai golongan Huffaz Teknorat yang dapat memacu industri teknologi serta kejuruteraan.

“Sekarang ini kita dapat lihat bahawa keperluan sangat tinggi yang mana mereka masuk ke TVET akan mendapat pekerjaan, malah berdasarkan sejarah kita sebelum ini 80 peratus pelajar atau graduan dapat bekerja dalam kursus mereka ikuti.

“Ia bukan satu pembaziran tetapi satu strategi begitu tepat dan tidak meninggalkan kumpulan-kumpulan yang terasing,” katanya.

Jelas beliau, program TVET Tahfiz ini merupakan satu inisiatif unik yang mana pelajar lepasan tahfiz yang belum menyempurnakan hafazan diberikan ruang untuk mempelajari bidang kemahiran.

“Malah dalam masa yang sama dapat mengulang serta meneruskan hafazan mereka seterusnya membuka peluang kerjaya yang lebih luas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

962
Kongsi :
Previous post ADTEC KAMPUS SELANDAR HIMPUN PELAJAR TVET TAHFIZ
Next post LANANAZ TAWAR PROMOSI HARGA MURAH