Sorting by

×

PROJEK PEMBANGUNAN PERLU DIURUS SECARA TELUS, AGRESIF – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Jun – Kaedah pemantauan dan intervensi lebih komprehensif perlu diberi penekanan dalam setiap projek pembangunan di negeri ini bagi memastikan pelaksanaannya memberi impak sebenar kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu dilaksanakan menerusi langkah mitigasi berkesan melalui Sistem Melaka Monitor yang diselia Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Saya menggesa agar kaedah pemantauan dan intervensi yang lebih menyeluruh dilaksanakan dengan mitigasi yang berkesan.

“Kita mahu pelaksanaan projek lebih telus dan efektif serta memastikan pengurusan peruntukan bajet berlaku secara teratur dan sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Libat Urus Bajet Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2026 bersama YB Exco dan Adun Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf, turut menyeru agar semua pihak terlibat termasuk Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), agensi pelaksana dan pemantau agar lebih agresif selain proaktif dalam memastikan projek berjalan lancar serta mengikut jadual yang ditetapkan.

“Keberkesanan projek semasa perlu diperhatikan dengan teliti dan dijadikan kayu ukur utama dalam merancang projek-projek pembangunan masa hadapan.

“Melalui sesi libat urus ini, sebanyak 913 permohonan projek telah diterima dengan nilai bajet berjumlah RM157.86 juta.

“Saya menghargai setiap pelan dan perancangan yang dikemukakan, namun apa jua misi, strategi, indikator atau pelan tindakan dirancang perlu direalisasikan dengan tindakan yang jelas dengan mendahulukan projek ‘The Most Priority Among Priorities’,” katanya.

Menurutnya, setiap permohonan akan diperhalusi bagi memastikan projek yang diluluskan memberi impak jelas terhadap kesejahteraan rakyat dan selaras dengan matlamat pembangunan negeri.

“Kita perlu memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan sebaik mungkin kerana lebih 60 peratus peruntukan Bajet Pembangunan Negeri datang daripada hasil negeri sendiri, termasuk menerusi Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran Tahap) serta Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT).

“Justeru, kelewatan atau perubahan tidak terkawal dalam projek boleh menjejaskan kewangan negeri serta perancangan masa hadapan.

“Setiap pelan hala tuju pembangunan negeri perlu direalisasikan dalam tempoh yang ditetapkan, demi memastikan kemajuan pembangunan Negeri Melaka tidak terganggu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

474
Kongsi :
Previous post RIBUT BADAI AYER MOLEK, LEBIH 150 RUMAH TERJEJAS
Next post MELAKA KE ARAH NEGERI TVET, JADI PUSAT SUMBER TENAGA MAHIR NEGARA