
PROJEK RESIDENSI KLEBANG 2 LEWAT KERANA KERJA PEMBENTUNGAN
SERI NEGERI 5 Disember – Kelewatan projek Residensi Klebang 2 yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang disebabkan pelaksanaan kerja paip pembentungan luaran.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kemajuan secara fizikal projek residensi yang mempunyai 800 unit itu telah mencapai 99 peratus.
“Semua kerja-kerja pembinaan bangunan dan infrastruktur dalaman telah disiapkan sepenuhnya sejak Disember 2024 lagi.
“Namun projek ini mengalami kelewatan disebabkan pelaksanaan kerja-kerja paip pembentungan. Pada 17 November lalu kerja-kerja telah selesai dan kini dalam proses pematuhan dokumen.
“Ia bagi pemeriksaan serta kelulusan daripada pihak Indah Water Konsortium (IWK) selain pemeriksaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal luaran,” katanya.
Beliau yang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Wira Lim Ban Hong (BN-Klebang) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, sehingga 31 Oktober 2025 sebanyak 544 unit atau 68 peratus unit kediaman Residensi Klebang 2 telah berjaya dijual.
“Untuk baki yang belum terjual adalah sebanyaj 256 unit atau bersamaan 32 peratus dan anggaran harga rumah di Residensi Klebang 2 antara RM180,000 hingga RM250,000.
“Pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan oleh PR1MA bagi meningkatkan unit jualan antaranya melaksanakan Kempen Rumah PR1MAKita yang menawarkan diskaun sehingga 25 peratus diskaun, menanggung sepenuhnya yuran guaman termasuk bekerjsama rapat dengan Lembaga Perumahan Melaka (LPM),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


