
PROMOSI MELAKA SEBAGAI HAB PERDAGANGAN HALAL DI NEGARA MATAHARI TERBIT
SERI NEGERI 28 Ogos – Selain meneroka pelaburan baharu dan mempromosi produk Melaka kepada dunia, penyertaan Melaka di World Expo 2025 Osaka, Jepun pada 31 Ogos hingga 6 September ini juga membuka ruang untuk mempromosikan negeri bersejarah ini sebagai hab perdagangan halal.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, misi itu akan dibawa sepanjang tujuh hari Minggu Melaka berlangsung di Pavilion Malaysia pada ekspo berkenaan.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi yang terlibat akan membawa beberapa fokus utama, termasuklah pembentangan kaedah bagi Permohonan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta perkhidmatan perundingan halal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pra-Pelancaran bagi Penyertaan Melaka ke World Expo 2025 di Osaka, Jepun di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, selain industri halal, Kerajaan Negeri juga akan memberi tumpuan dalam mempromosikan beberapa sektor lain, antaranya pertanian, pelancongan, keusahawanan dan teknologi hijau.
“Ia termasuklah mempromosikan peralihan Melaka ke Arah Sifar Bersih (Net-Zero) menerusi inisiatif Net Zero Emission seperti projek solar dan Smart Grid Demonstration dan memperkenalkan potensi hasil pertanian tempatan termasuk pertanian pintar serta agro pelancongan.
“Di samping itu, penyertaan di Osaka juga membuka ruang untuk empromosikan Pelancongan Melaka ke pentas dunia bersempena Melaka sebagai tuan rumah bagi Hari Pelancongan Sedunia (WTD dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 September depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.