
PROSES KELULUSAN KKDW PUNCA KELEWATAN BAIK PULIH, BINA BAHARU RUMAH
SERI NEGERI 8 Disember – Proses kelulusan peringkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dikenal pasti sebagai punca kelewatan pelaksanaan projek baik pulih dan pembinaan rumah baharu sehingga terdapat permohonan yang masih belum diselesaikan walaupun telah melebihi tempoh tiga tahun.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Wira Rais Yasin berkata, aduan berhubung kelewatan itu diterima hampir setiap minggu khususnya di kawasan Pantai Kundor melibatkan permohonan baik pulih rumah uzur atau runtuh serta permohonan bina baharu akibat bencana alam.
Menurut beliau, bantuan perumahan kepada golongan sasar itu dilaksanakan menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah seliaan KKDW sebagai salah satu inisiatif pembasmian kemiskinan luar bandar.
“Setiap permohonan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan Daerah (FGD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah untuk penelitian berdasarkan syarat dan kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.
“Permohonan yang diperakukan kemudiannya akan dikemukakan kepada KKDW bagi pertimbangan dan kelulusan di peringkat kementerian, sekali gus menjadi antara faktor utama kelewatan pelaksanaan di lapangan.
“Bagi pelaksanaan program itu, KKDW menetapkan had siling sebanyak RM79,000 bagi pembinaan rumah baharu manakala RM20,000 bagi kerja-kerja baik pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN–Pantai Kundor) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, bagi tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 41 permohonan baik pulih dan tiga permohonan bina baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor telah menerima kelulusan untuk dilaksanakan oleh GiatMARA.
“Bagaimanapun, masih terdapat lapan permohonan baik pulih dan 12 permohonan bina baharu yang belum mendapat kelulusan.
“Bagi tahun 2025, KKDW telah meluluskan sebanyak 55 permohonan bina baharu dan 188 permohonan baik pulih rumah di seluruh Negeri Melaka dan daripada jumlah itu, daerah Melaka Tengah merekodkan 15 bina baharu dan 46 baik pulih, manakala daerah Alor Gajah dan Jasin masing-masing mencatat 20 bina baharu serta 71 baik pulih,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


