Sorting by

×

PROTON INSTITUTE MELAKA PERKUKUH SINERGI LATIHAN EV, PERKASA BAKAT TEMPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TABOH NANING 1 Ogos – Dalam mendepani arus revolusi teknologi automotif, PROTON Institute di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) terus mengorak langkah proaktif dengan memperkukuh sinergi latihan dalam bidang kenderaan elektrik (EV).

Menerusi kolaborasi strategik bersama pemain industri, institusi pengajian tinggi dan institusi penyedia latihan TVET, PROTON Institute tampil sebagai pemangkin utama dalam menyokong agenda pembangunan tenaga mahir tempatan yang mampu memacu transformasi mobiliti hijau negara secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

Sebagai langkah menyokong aspirasi tersebut, PROTON Institute telah menganjurkan seminar bertajuk ‘EV di Malaysia: Mendepani Cabaran Lokal dan Global’ pada 29 Julai lalu.

Seminar itu berjaya menghimpunkan 478 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian dan institusi penyedia latihan TVET serta syarikat industri automotif.

Sesi perkongsian ilmu telah menampilkan panel penceramah daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), PROTON New Energy Technology (PRO-Net), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong dan PROTON Institute sendiri.

Penganjuran seminar tersebut merupakan antara usaha berterusan dalam memperkukuh ekosistem latihan EV negara menerusi perkongsian kepakaran rentas sektor serta platform dialog strategik antara pemain industri, penggubal dasar dan penyedia latihan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Ts. Abdul Halim Ali Mohammed dalam ucapannya pada seminar itu menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan agenda teknologi EV bergantung secara langsung dengan kekuatan kerjasama rentas sektor yang inklusif dan strategik.

“Kita tidak boleh bergerak secara silo. Hanya dengan menyatukan sumber, kepakaran dan tanggungjawab bersama, kita mampu membina ekosistem latihan EV yang kukuh, relevan dan mampan,” ujar beliau.

Ev 1
PERKONGSIAN ilmu dari pandangan pakar dan amalan terbaik dalam bidang EV.

Sementara itu, Pengarah PROTON Institute, Ts. Dr. Norhuda Salim turut menzahirkan komitmen institusi dalam memperluas program latihan EV menerusi pendekatan kerjasama pelbagai pihak selaras dengan aspirasi pembangunan sektor automotif negara.

“Transformasi EV menuntut tahap kesiapsiagaan modal insan yang tinggi. Pelaksanaan latihan yang terancang, disokong oleh industri dan berorientasikan keterbukaan akan memastikan kita mampu melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk memacu perubahan teknologi secara berkesan,” ujarnya.

Penganjuran seminar itu secara keseluruhannya telah mengukuhkan peranan PROTON Institute sebagai rakan strategik utama dalam pembangunan tenaga mahir automotif negara dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan ekosistem automotif negara yang lebih lestari, berinovasi dan berdaya maju di peringkat global.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

633
Kongsi :
Previous post MELAKA BILA LARUT MALAM: HADIAH ISTIMEWA BUAT PENGUNJUNG MELAKA RIVER CRUISE
Next post RMK13 PACU PELANCONGAN, INDUSTRI HALAL MELAKA – KM