
PTPTN MELAKA SALUR ZAKAT RM20,000 UNTUK PELAJAR ASNAF
AYER KEROH 8 November – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan wakalah zakat berjumlah RM20,000 bagi membantu 100 pelajar yang terdiri dalam kalangan asnaf, fakir dan miskin.
Sumbangan itu disampaikan pada Majlis Penyerahan Wakalah Zakat anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka yang diadakan di perkarangan Masjid Al-Hikmah.
Pengarah Negeri PTPTN Melaka Mas Anisah Ayu berkata, sumbangan zakat itu berupa Akaun Simpan SSPN Prime, di mana setiap pelajar bakal menerima RM200 yang dikreditkan terus ke akaun masing-masing.
“PTPTN Negeri Melaka sentiasa komited dan prihatin dalam membantu membangunkan potensi pendidikan generasi muda, khususnya dalam kalangan pelajar yang memerlukan.
“Menerusi penyerahan Wakalah Zakat kepada 100 orang pelajar UiTM Cawangan Melaka yang layak, PTPTN bukan sahaja menyalurkan bantuan kewangan melalui Akaun Simpan SSPN Prime, tetapi turut menyemai nilai penabungan dan kesedaran kewangan dari peringkat awal,” katanya.
Mengulas lanjut, Mas Anisah berkata, sumbangan itu juga membuktikan kesungguhan PTPTN dalam memperkukuh jalinan kerjasama bersama institusi pendidikan tinggi dan menyantuni golongan asnaf serta kurang berkemampuan.
“Ini merupakan salah satu usaha berterusan dalam memastikan tiada pelajar tercicir disebabkan kekangan kewangan, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasa pendidikan tinggi negara,” tambahnya.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Wakalah Zakat itu turut dihadiri Naib Canselor UiTM Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Rektor UiTM cawangan Melaka Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


