
PULAU BESAR LOKASI PROJEK RAMALAN KILAT 3D, AMARAN AWAL RIBUT
OSAKA, JEPUN 5 September – Pusat Informasi Pulau Besar milik Perbadanan Melaka (MCORP) bakal menjadi lokasi penyelidikan projek Ramalan Kilat 3D Masa Nyata dan Amaran Awal Bencana Ribut (SATREPS).
Ia selepas dua memorandum persefahaman (MoU) dimeterai di antara antara Kindai University Jepun, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), MCORP dan Jabatan Mufti Negeri Melaka pada Minggu Melaka bersempena World Expo 2025 Osaka, baru-baru ini.
Pengurus Kanan Perancangan Perindustrian MCORP Hairulzamani Othman berkata, MoU tersebut merupakan antara peranan dimainkan MCORP sebagai penyelaras untuk memastikan kejayaan projek yang mendapat geran RM4.8 juta oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Japan Science and Technology Agency dan Japan International Cooperation Agency itu berjaya direalisasikan.
Menurut beliau, selain menyelaras, MCORP bersama Jabatan Mufti Negeri Melaka juga memainkan peranan untuk menyediakan lokasi penyelidikan iaitu di Pusat Informasi Pulau Besar dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

“Kajian ini amat penting kerana ia bukan sahaja dapat mengumpul maklumat berkaitan kilat, bahkan ia boleh memberi amaran awal berkaitan bencana ribut dan banjir di Melaka.
“Jadi, penyelidikan ini kebanyakannya akan dilakukan di Pulau Besar, di mana Pusat Informasi milik MCORP akan menjadi lokasi bagi segala peralatan yang diperlukan untuk kajian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas seminar Melaka Global Investment Gateway – Bridging Borders, Building Futures di Business Hall, Pavillion Malaysia.
Menurut Hairulzamani, selain pemeteraian MoU, sepanjang ekspo berkenaan, MCORP turut memainkan peranan dalam mengatur lawatan-lawatan industri di Jepun dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Kita amat berharap menerusi ekspo ini, para pelabur dapat mengenali Melaka dan MCORP dengan lebih dekat dab seterusnya meneroka peluang pelaburan dan perniagaan di Melaka pada masa akan datang,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.