
PUSAT DATA AI PERTAMA DIBANGUNKAN DI MELAKA DENGAN NILAI PELABURAN LEBIH RM9 BILION
SERI NEGERI 4 Februari – Melaka bakal memiliki sebuah pusat data (data centre) berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang pertama di negeri ini dengan nilai pelaburan dianggarkan melebihi RM9 bilion.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kampus pusat data itu dirancang akan dibangunkan di Jasin, di mana ia bakal dilaksanakan secara berfasa melibatkan pembinaan tiga buah bangunan pusat data dengan kapasiti IT mencecah 96MW.
Jelas beliau, projek mega berkenaan merupakan hasil pelaburan usahasama strategik bersama Victoria Data Centre, syarikat yang berpangkalan dari Hong Kong.
“Projek ini secara tidak langsung meletakkan Melaka sebagai destinasi kompetitif bagi infrastruktur digital berteknologi tinggi di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, kejayaan menarik pelaburan berskala besar itu bakal memberi impak transformasi yang signifikan terhadap landskap ekonomi Negeri Melaka.
Menurut beliau, antara impak ketara adalah memperkukuh ekosistem digital dan pemerkasaan AI, selain memacu adaptasi elemen Industri 4.0 (IR 4.0).
“Pembangunan pusat data ini turut membuka peluang kepada pemindahan teknologi serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi penduduk tempatan.
“Usaha ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Melaka untuk menjadi hab inovasi dan digital yang mampan di negara ini,” katanya.
Tambahnya lagi, kejayaan itu juga adalah hasil usaha dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri menarik kehadiran pelabur, termasuklah dengan mengadakan lawatan kerja ke luar negara seperti China dan beberapa negara Eropah lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


