
PUSAT KECEMERLANGAN TVET MELAKA LAHIR TENAGA KERJA KOMPETEN
BANDA HILIR 21 November – Kerajaan Negeri sedang dalam pelaksanaan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET Centre of Excellence) sebagai usaha memperkukuh penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari dengan keperluan industri.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, pelbagai perancangan telah dirangka termasuk menyelaraskan perjalanan bagi memastikan penubuhan pusat kecemerlangan itu dapat direalisasikan.
“Selain dari penganjuran pelbagai program, antara rangka utama kita pada tahun hadapan adalah mewujudkan Pusat Kecemerlangan TVET. Ia seakan ‘laboratory’ untuk kita menjalankan latihan bagi memastikan kehendak dan keperluan industri dapat dipenuhi dengan lebih baik.
“Ini juga adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya ‘mismatch’ atau pelatih yang tidak kompeten dengan keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Serenitea Hi-Tea 2025: Santai Bersama, Menginspirasi Jiwa, di sebuah hotel, di sini, semalam.
Khaidhirah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis TVET Negeri Melaka berkata, apabila adanya pusat kecemerlangan itu ia akan membantu memastikan sebarang jurang kompetensi dapat ditutup terus dengan kerjasama yang erat bersama industri yang terlibat.
“Apa yang penting sekarang ini adalah apabila setiap kali Kerajaan Negeri mendapat atau membawa masuk pelaburan dari luar dan mewujudkan industri isu utama untuk dipastikan adalah penyediaan tenaga kerja.
“Untuk itu kita perlu pastikan orang yang mahu bekerja itu ada dan hendaklah mereka yang kompeten serta memenuhi kehendak industri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


