Sorting by

×

‘PUTERI SANTUBONG’ DI MELAKA 1 NOVEMBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Oktober – Teater Puteri Santubong Sijinjang The Musical Fantacies akan ditayangkan secara eksklusif pada 1 November ini dengan menampilkan naratif berbeza berbanding penceritaan kisah legenda sebelum ini.

Menariknya, teater muzikal tersebut bakal menampilkan muzik moden, tarian kontemporari serta elemen multimedia yang menjanjikan kelainan.

Penerbitnya, Ahmad Albab berkata, pemilihan Puteri Santubong Sijinjang sudah dirancang sejak setahun lalu bertujuan menonjolkan sebuah cerita rakyat yang dekat di hati masyarakat

Katany, walaupun kisahnya agak berat, namun untuk pementasan ini nanti, gaya penceritaan serta muzikal telah disusun secara santai dan menyelitkan elemen kontemporari.

“Antara kelainan pementasan kali ini ialah kami telah mengembangkan elemen cerita, di mana jalan cerita teater ini berkisar mengenai sumpahan dan konflik-konflik yang menjurus kepada klimaks sumpahan itu berlaku.

“Ia digarap dengan nyanyian yang mana perkembangan plot tidak tertakluk kepada dialog, malah akan dibantu dengan lirik-lirik nyanyian bagi menyampaikan mesej dan menggerakkan plot cerita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Puteri Santubong Sijinjang The Musical Fantasies di Panggung Bangsawan, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias dan Pengurus Besar MCORP Corporate Services (MCS) Sdn Bhd, Datin Sukhirah Ibrahim.

Sementara itu, pengarah teater tersebut, Eri Majid menyifatkan pementasan karya tersebut bukan sekadar menampilkan kelainan, tetapi turut membawa mesej berbentuk pengajaran yang dapat mendidik serta diteladani penonton di semua peringkat umur.

“Umum mengetahui bahawa kisah Puteri Santubong Sijinjang amat popular di negara ini terutamanya di Sarawak, jadi kami mengambil tanggungjawab memberikan didikan kepada masyarakat umum menerusi pementasan ini yang sarat dengan pengajaran.

“Saya menjemput orang ramai terutamanya warga Melaka dapat memenuhi Panggung Bangsawan pada 1 November ini bagi menikmati pementasan Puteri Santubong Sijinjang The Musical Fantasies yang dan kami menjanjikan persembahan terbaik buat anda semua,” ujarnya.

Teater Puteri Santubong Sijinjang The Musical Fantasies akan dipentaskan di Panggung Bangsawan pada 1 November ini dan anda boleh membeli tiket menerusi pautan berikut https://www.ticket2u.com.my/event/46233.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

697
Kongsi :
Previous post KENALI KANSER PAYUDARA