Sorting by

×

PUTRA SPECIALIST HOSPITAL MELAKA TERIMA PENGIKTARAFAN ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 29 Januari – Pusat perubatan Putra Specialist Hospital Melaka mengukir kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan The BrandLaureate The World’s Best Brand Awards 2025–2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan kepakaran bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital Melaka Mohd Zahiruddin Ahmad berkata, anugerah diterima bagi kategori ‘Advanced Specialty Care’ itu merupakan satu pencapaian penting yang selaras usaha berterusan memperkukuhkan kecemerlangan perkhidmatan perubatan.

Mohd Zahiruddin berkata, perkhidmatan perubatan disediakan bukan sahaja di Melaka tetapi merangkumi Wilayah Selatan Malaysia termasuk Kepulauan Riau, Indonesia.

“Penganugerahan itu mencerminkan komitmen pusat perubatan itu dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif, berteknologi tinggi dan berfokuskan kepakaran.

“Ini selaras dengan piawaian antarabangsa termasuk keperluan pesakit yang semakin berkembang pada masa sekarang,” katanya menerusi kenyataan kepada media.

Terdahulu anugerah itu diterima beliau dalam majlis penganugerahan rasmi yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Menurut Mohd Zahiruddin, anugerah berprestij diterima itu secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelan pembangunan strategik Putra Specialist Hospital Melaka (PUTRA 2).

“Ini secara tidak langsung memperkukuhkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan PSH dalam menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, selamat serta berteraskan kecemerlangan klinikal.

“Kami juga kekal komited komited untuk terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus, demi kesejahteraan komuniti dan pembangunan sistem kesihatan serantau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

313
Kongsi :
Previous post NAIK TARAF BULATAN TOL SIMPANG AMPAT DIJANGKA BERMULA PENGHUJUNG 2026