
RAIH ANUGERAH PBT, MBMB SETANDING BANDARAYA MAJU – SHADAN
AYER KEROH 9 November – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya meraih Naib Johan Anugerah Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik bagi Kategori Bandaraya.
Anugerah berprestij yang dianjurkan setiap tahun oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, menerima penghargaan berupa cek replika bernilai RM5,000 dan sijil daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, disaksikan Timbalan Menteri, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Ketika dihubungi Melaka Hari Ini, Shadan memaklumkan pencapaian diraihnya itu adalah hasil usaha seluruh warga kerja MBMB.
“Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT ini, MBMB bersaing dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mendapat juara dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang menduduki tempat ketiga.
“Penganugerahan ini menunjukkan status MBMB kini setanding bandaraya maju lain di negara ini dan kejayaan ini bukan untuk saya seorang tapi hasil daripada warga kerja MBMB sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Shadan berkata kejayaan itu juga menjadi penyuntik semangat untuk bekerja lebih kuat demi memastikan Melaka dan MBMB terus kekal bersih dan lestari.
“Suka untuk saya katakan kejayaan ini menjadi sumber inspirasi untuk memperkukuh pembangunan dan memastikan Melaka terus berkembang sebagai bandaraya mampan dan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


