
RAIS TUNAI JANJI, REALISASIKAN PUSAT PENJAJA DI TAMAN KRUBONG JAYA
PAYA RUMPUT 13 Disember – Impian penjaja di sekitar Taman Krubong Jaya untuk berniaga di sebuah tapak yang lebih selesa dan serba lengkap kini direalisasikan dengan pembukaan Pusat Penjaja Terbuka Krubong Jaya.
Ia selepas Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan pusat penjaja itu yang boleh menempatkan seramai 14 peniaga kecil.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pusat penjaja itu merupakan antara hasrat yang dizahirkan sendiri penjaja dan juga penduduk di kawasan itu sebaik beliau mula diberi mandat sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Bertitik tolak daripada itu, beliau berusaha untuk merealisasikannya sehinggalah terbinanya pusat penjaja yang serba lengkap dan selesa.
“Setelah hampir empat tahun, kita berjaya merealisasikan impian warga Paya Rumput yang sebelum ini berniaga di kawasan yang tidak selamat seperti bahu jalan dan sebagainya.
“Ini adalah manifestasi kesungguhan untuk kita membantu golongan penjaja dan saya amat berharap usaha dilakukan ini dapat membantu mereka dan seterusnya merancakkan ekonomi setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Pusat Penjaja Terbuka Krubong Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Menurut Rais, selain dilengkapi fasiliti lengkap, selesa dan mesra pelanggan, pusat penjaja itu juga hanya mengenakan sewa bulanan minima iaitu RM250 sebulan sahaja.
“Pada masa sama, fasiliti yang disediakan juga dapat menjamin kebersihan dan keselamatan penyediaan makanan, seterusnya mengurangkan risiko bahaya kepada peniaga dan orang ramai seperti berniaga di tepi jalan,” katanya.
Dalam pada itu, Rais turut menyampaikan berita gembira kepada peniaga iaitu insentif pengecualian sebulan sewa kepada semua ruang niaga dan premis di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi Kerajaan Negeri pada tahun 2026.
Jelas beliau, insentif itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 bertujuan meringankan beban peniaga kecil, selain memberi ruang kepada mereka menambah modal dan membantu meningkatkan kualiti perniagaan mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


