Sorting by

×

‘RAKAN TAMAN’ MPHTJ PUPUK BUDAYA HIJAU, ERATKAN KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PENGKALAN BATU 4 Jun – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) terus memupuk budaya hijau dalam kalangan komuniti menerusi pemerkasaan program ‘Rakan Taman’ melibatkan komuniti taman perumahan.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, Rakan Taman merupakan program jaringan sukarelawan komuniti yang diperkenalkan Jabatan Landskap Negara untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dan penduduk dalam pemuliharaan dan pembangunan landskap.

Menurut beliau, program itu juga menyahut saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar budaya bercucuk tanam dan penghijauan dibudayakan masyarakat setempat demi menjaga kelestarian alam.

“Sehingga kini, terdapat empat Rakan Taman yang telah diwujudkan di bawah MPHTJ iaitu membabitkan Taman Angkasa Nuri, Melaka Perdana Resort Homes, Taman Bunga Raya Bukit Beruang dan terbaharu Taman Bachang Baru.

“Program ini secara tidak langsung bukan sahaja bukan sahaja mencantikkan kawasan kejiranan, malah dapat membantu memperkukuhkan semangat gotong-royong, jalinan silaturahim, dan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, beliau telah mengiringi Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu merasmikan Program Rakan Taman, Laman Rimbun Taman Bachang Baru, di sini, 31 Mei lalu.

Menurut Sapiah, program itu juga merupakan antara inisiatif yang dijalankan menerusi program ‘Landskap Kita, Tanggungjawab Kita’ bagi menyahut saranan kerajaan dan KPKT mewujudkan Kebun Kejiranan atau Community Garden.

Jelas beliau, inisiatif itu memberi penekanan kepada pemerkasaan komuniti setempat dalam membangunkan dan menyelenggara kawasan lapang, tanah terbiar atau laman kediaman dengan aktiviti landskap dan penanaman secara lestari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

894
Kongsi :
Previous post TAMAN PERMAINAN PLAZA SUNGAI UDANG DINAIK TARAF
Next post ECO-CRUISE SUNGAI LINGGI BAKAL DILANCAR PADA SEPTEMBER