Sorting by

×

RAMADAN BAWA KECERIAAN BUAT ANAK ISTIMEWA ALOR GAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

REMBIA 17 Mac – Raut ceria jelas kelihatan di wajah 137 pelatih asnaf Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Parlimen Alor Gajah apabila diraikan dalam majlis berbuka puasa.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, majlis yang diadakan dengan kerjasama beberapa rakan sinergi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu adalah untuk menyantuni anak-anak istimewa.

“Penganjuran tahun kedua ini membabitkan seramai 137 pelatih PPDK yang berdaftar di dalam Parlimen Alor Gajah yang mana mereka bukan sahaja diraikan dalam majlis berbuka puasa tetapi turut diberikan sumbangan seperti wang tunai dan kit makanan.

“Selain meraikan mereka, majlis ini juga diadakan sebagai tanda keprihatinan serta usaha menyantuni golongan anak istimewa agar mereka turut merasai kemeriahan Ramadan bersama masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Penyelaras DUN Rembia berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa Asnaf Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Daerah Alor Gajah Tahun 2026 di Japerun Rembia, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil; Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Halyjah Muhamad.

Sementara itu Fairul Nizam berkata, bagi membantu memperkasakan pengurusan, kemudahan serta pelaksanaan program di PPDK, beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan pemberian bantuan ‘one-off’ kepada pusat berkenaan.

“Saya bergerak bersama PPDK ini sudah lama sebelum menjadi wakil rakyat dan untuk makluman meskipun mereka ada menerima geran daripada JKM tetapi ia hanya untuk membayar gaji, utiliti dan sewa.

“Malah untuk pelaksanaan program-program, alat bantu dan sebagainya PPDK perlu berusaha sendiri untuk mencari dana oleh itu kita berharap agar PPDK dapat diberikan suntikan secara ‘one-off’ tahunan..

“Ini secara tidak langsung dapat membantu PPDK seluruh Melaka mampu berdaya saing dan melatih anak-anak ini untuk berdikari,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post MELAKA KEKAL DESTINASI PILIHAN, DIYAKINI PELABUR
Next post PARKIR PERCUMA TAMBAH KEMERIAHAN ‘MOOD’ RAYA DI MELAKA