
RAMADAN BUKAN ALASAN LANGGAR UNDANG-UNDANG
PENGKALAN BATU 8 Mac – Persatuan kenderaan termasuk kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi perlu memainkan peranan penting dalam mendidik ahli agar lebih berdisiplin ketika berada di jalan raya.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap aktiviti yang dianjurkan kelab-kelab berkenaan berjalan lancar tanpa menimbulkan sebarang gangguan kepada masyarakat.
Menurutnya, setakat ini pihak polis mendapati program melibatkan kumpulan kenderaan berkuasa tinggi yang diadakan di negeri ini tidak mendatangkan sebarang masalah kepada penduduk setempat.
“Namun kita berharap persatuan kelab motor dan juga supercar dapat mendidik ahli-ahli kelab supaya lebih berdisiplin.
“Boleh dikatakan setiap minggu memang ada kumpulan kereta dan kumpulan motor datang untuk singgah sahur di Melaka namun undang-undang tetap undang-undang.
“Kita tidak akan berkompromi sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang kerana bulan Ramadan bukan alasan untuk memberi kelonggaran kepada mana-mana pihak dan diharapkan setiap pengunjung dapat memberi kerjasama dan dapat mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Singgah Sahur yang menghimpunkan kenderaan mewah Supercar Gang dan motsikal berkuasa tinggi dari Ducatti Official Club Malaysia (DOCM) di Kilang Makan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkhairi berkata program tersebut merupakan gabungan Program Singgah Sahur antara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan kedua-dua kelab berkenaan serta mendapat kerjasama daripada Jabatan Ketua Menteri.
Katanya, kolaborasi berkenaan dilihat sebagai satu aktiviti positif walaupun terdapat segelintir pihak yang kurang senang dengan kehadiran kumpulan kenderaan tersebut kerana dikaitkan dengan kesesakan lalu lintas serta bunyi bising.
“Namun daripada apa yang kita nampak, kolaborasi ini memberi kebaikan apabila ia mampu mengeratkan hubungan dan menunjukkan kerjasama yang sihat antara pelbagai pihak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


