Sorting by

×

RAMADAN ERATKAN SILATURAHIM, KOMUNITI ORANG ASLI DUN GADEK DISANTUNI

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

GADEK 24 Februari – Lebih 50 komuniti mualaf termasuk kanak-kanak dalam kalangan masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Sebang, Alor Gajah diraikan pada majlis berbuka puasa berlangsung di penempatan itu, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Datuk VP Shanmugam berkata, program itu adalah bersempena Jelajah Iftar Jama’ie Di Perkampungan Orang Asli Negeri Melaka Tahun 2026M/1447H yang dijayakan hasil kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Katanya, ia bukan sekadar program berbuka puasa, sebaliknya menjadi medan menyantuni dan memahami permasalahan dihadapi komuniti berkenaan.

“Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek hanya ada satu penempatan Orang Asli iaitu Kampung Bukit Sebang, kesempatan yang ada turut digunakan untuk menyerahkan bantuan barangan keperluan harian kepada para penerima.

“Terima kasih juga kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas sokongan berterusan terhadap inisiatif kebajikan menyantuni masyarakat berkeperluan di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, berkata program seumpama itu dapat mengukuhkan silaturahim serta memperkasa penghayatan Islam dalam kalangan komuniti setempat.

“Diharap pendekatan turun padang seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuh perpaduan masyarakat dan memastikan kebajikan komuniti Orang Asli terus terbela,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post MPJ PANTAU BAZAR RAMADAN, PASTIKAN TIADA ISU KEBERSIHAN
Next post RAMADAN DUN SUNGAI UDANG DIIMARAHKAN DENGAN PROGRAM TAQARRUB