
RAMADAN TIDAK HALANG KETUA MENTERI TURUN PADANG SANTUNI MASALAH RAKYAT
TANJUNG BIDARA 2 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tidak menunggu lama atau bertangguh dalam mencari penyelesaian setiap permasalahan yang melibatkan rakyat.
Malah Ab Rauf lebih selesa untuk turun padang bagi melihat dan menilai sendiri setiap permasalahan membelenggu rakyat meskipun menjalani ibadah puasa dan sibuk dengan pelbagai urusan pentadbiran negeri.
Selain mencari penyelesaian permasalahan diterima, Ab Rauf turut menggunakan kesempatan yang ada untuk menyantuni orang Masjid Tanah.
Terdahulu pada sebelah pagi beliau meluangkan masa meninjuan persimpangan Kawasan Perindustrian Londang dan Taman Idaman Jaya yang didakwa menjadi lokasi panas kemalangan terutama pada waktu puncak dan malam hari.
Permasalahan itu mendapat perhatian Ketua Menteri kerana kemalangan yang dilaporkan sebelum ini turut melibatkan kehilangan nyawa.
Difahamkan, antara aspek keselamatan akan ditambah baik adalah pemasangan lampu isyarat, pemasangan papan tanda amaran serta menambah baik pencahayaan.
Sementara itu pada sebelah petang Ketua Menteri sekali lagi turun padang meninjau aliran trafik di persimpangan lampu isyarat Solok Duku yang kerap berlaku kesesakan.
Hasil penilaian awal jabatan dan agensi berkenaan beberapa inisiatif dicadangkan sebagai strategik membantu proses penyuraian trafik di laluan itu.
Kata Ketua Menteri strategi penyuraian trafik berkenaan akan dilaksanakan segera bagi memastikan keselesaan pengguna laluan itu yang menghubungkan Tanjung Bidara, Masjid Tanah dan Sungai Udang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


