Sorting by

×

RASA TIDAK SEDAP HATI PETANDA ANAK DAN SUAMI SUDAH TIADA

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PENGKALAN BATU 19 Jun – Perasaan gelisah dan tidak sedap hati seorang wanita sepanjang di tempat kerja terjawab apabila dia menemukan suami dan bayi lelakinya berusia tiga bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik tidur rumah mereka di Kampung Perigi Hang Tuah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Nuruleffandy Ibrahim, 35, dan bayinya Nur Muhammad Daniel Nurulaffandy, ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dua beranak itu disahkan sudah meninggal dunia.

Nuruleffandy, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, sementara itu Nur Muhammad Daniel disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka.

Adik Nuruleffandy, Masturadiana Ibrahim, 33, berkata, dia hanya menyedari tragedi itu selepas didatangi kakak iparnya Azura Abd Malek Yaher, 40, ketika itu dalam keadaan cemas.

Katanya, Azura kemudian memaklumkan bayinya yang juga anak bongsu pasangan itu sudah tidak bernyawa akibat dihempap lengan Nuruleffandy.

“Semasa masuk ke bilik saya lihat abang dan bayinya terbaring atas katil tidak sedarkan diri, dalam suasana cemas saya memeriksa nadi pada leher Nur Muhammad Daniel, ketika itu masih ada denyutan lalu segera mengajak kakak ipar untuk membawa anaknya ke Hospital Melaka.

“Sementara itu ahli keluarga lain diminta menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan kecemasan untuk abang.

“Ketika dalam perjalanan ke hospital badan Nur Muhammad Daniel mula kebiruan, jauh disudut hati amat berharap tiada perkara buruk berlaku dan anak saudara dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Turut berada Jabatan Forensik Hospital Melaka, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Menurut Masturadiana, anak saudaranya itu ditinggalkan bersama abangnya kerana kakak iparnya sudah habis cuti bersalin dan baru hari pertama kembali bertugas.

“Kakak ipar kebetulan pulang ke rumah untuk ambil Nur Muhammad Daniel kerana ada janji temu di klinik, terdahulu dia beberapa kali menghubungi abang, namun tidak berjawab membuatkan dia berasa tidak sedap hati.

“Sejurus tiba di rumah kakak ipar mendapati pintu hadapan berkunci selain panggilannya tidak bersahut, dia kemudian nekad memanjat tingkap belakang untuk masuk ke dalam rumah dan menemukan suami serta anaknya tidak sedarkan diri.

“Menurut kakak ipar, semalam abang ada mengadu sakit dada tetapi apabila diajak ke klinik untuk berjumpa doktor, arwah menolak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

856
Kongsi :
Previous post MELAKA CULINARY CHALLENGE 2025: ASAM PEDAS, LEMPENG TIDAK DILUPAKAN
Next post PERZIM PUPUK KESEDARAN GENERASI MUDA LINDUNGI PENYU KARAH