Sorting by

×

RAYA DI RIM HIMPUN RAKYAT BERBILANG KAUM BAWAH SATU BUMBUNG

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

RIM 29 Mac – Kehadiran masyarakat berbilang kaum hadir memeriahkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang terus utuh di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, kehadiran tetamu pada majlis itu di luar jangkaan apabila melepasi sasaran sekali gus menunjukkan kesepakatan rakyat dalam meraikan setiap perayaan.

“Melihat jumlah kehadiran yang ramai dan di luar jangkaan ia membuatkan saya rasa terharu kerana sokongan yang diberikan.

“Dianggarkan lebih 7,000 tetamu hadir dan istimewanya sambutan rumah terbuka di bawah satu bumbung ini dapat menghimpunkan masyarakat bukan sahaja Melayu tetapi pelbagai bangsa termasuk kaum Cina dan India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Rim yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata, bagi meraikan tetamu pada majlis itu lebih 15 juadah disediakan termasuk jagung yang menjadi produk pertanian sinonim di DUN Rim.

“Selain nasi yang menjadi menu utama terdapat juga beberapa hidangan hari raya lain seperti sate dan rendang selain untuk kanak-kanak turut disampaikan sumbangan duit raya.

“Pastinya saya amat menghargai kehadiran semua yang sudi meluangkan masa hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka ini selain saya juga ingin memohon maaf andai ada kekurangan sepanjang majlis ini berlangsung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

421
Kongsi :
Previous post DALAM BERAYA, MELAKA DIDIK RAKYAT AMAL KITAR SEMULA
Next post TEMA MELAKA SAYANG RAKYAT TERCAPAI