
RERUAI BLITZ JADI TUMPUAN, RAMAI CABAR DIRI PANJAT ‘SCAFFOLDING’
AYER KEROH, 11 Jun – Reruai Pusat Latihan Blitz dari Masjid Tanah mencuri perhatian pengunjung apabila menawarkan pengalaman unik iaitu menawan struktur ‘scaffolding’.
Pengunjung berpeluang mencuba aktiviti itu sempena Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), bermula hari ini hingga Sabtu.
Wakil Blitz, Aimie Raudah Abd Halim berkata, penyertaan mereka bertujuan memperkenalkan kursus dan pensijilan ditawarkan oleh pusat latihan itu, khususnya dalam bidang kepakaran scaffolding (perancah) atau ‘stagging’.
“Ramai pengunjung tertarik untuk cuba memanjat struktur perancah ini. Mereka dapat merasai sendiri ketinggian sebenar dan memahami cabaran bekerja di lapangan.
“Ada yang gayat, tetapi beranikan diri untuk naik juga. Selepas itu mereka rasa lebih yakin dan hilang rasa takut berada di tempat tinggi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Tambahnya, bekerja sebagai ‘scaffolder’ memerlukan sijil sah,dan pusat latihan Blitz menawarkan latihan serta pensijilan mengikut piawaian industri semasa.
“Kita mahu beri kesedaran bahawa bidang ini adalah kepakaran pekerja berkemahiran tinggi dan memerlukan latihan khusus. Tanpa sijil, tidak layak bekerja dalam bidang ini.
“Sebab itu kami menyertai sambutan Hari TVET ini untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang potensi kerjaya dalam bidang teknikal yang dahulunya dianggap sebagai kerja berat,” katanya.
Pix 2. AIMIE Raudah (kanan) menerangkan kepada pengunjung cara memakai kelengkapan untuk memanjat ‘scaffolding’.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.