
RESTORAN NASI KANDAR TAMBAH WARNA PELANCONGAN KULINARI MELAKA
BANDARAYA MELAKA 28 Mei – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hari ini merasmikan pembukaan cawangan pertama Restoran Nasi Kandar Pelita di Melaka, yang juga merupakan cawangan ke-30 di seluruh Malaysia.
Ab Rauf menyifatkan Nasi Kandar Pelita sebagai simbol kepelbagaian budaya dan kesatuan dalam cita rasa serta kisah kejayaan keusahawanan anak tempatan yang mengangkat warisan kulinari negara ke satu tahap yang membanggakan.
Menurut beliau, pembukaan cawangan itu bukan sahaja menambah warna dalam pilihan makanan rakyat Melaka, malah turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
“Nasi Kandar Pelita membuka peluang pekerjaan, menjana aktiviti perniagaan sekitar dan merancakkan sektor pelancongan makanan di negeri ini.
“Rakyat negeri akan sentiasa memberikan sokongan kerana restoran ini memberikan satu sinar baharu dalam industri kulinari dan pelancongan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Restoran Nasi Kandar Pelita di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir pada Majlis itu adalah Pengerusi Eksekutif Pelita Samudera Pertama (M) Sdn. Bhd, Dato’ Shamsuri Ahmad, ketua-ketua jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri serta lain-lain kenamaan.
Sempena pembukaan rasminya, pihak restoran telah menyediakan makanan percuma kepada lebih 5,000 rakyat Melaka yang hadir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.