Sorting by

×

REZEKI BURUNG MERPATI

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

DUYONG 11 Mei – Bermula dengan hanya 10 ekor burung merpati pemberian ibu saudaranya, kini Muhammad Zaki Firdaus Roslan berjaya membiak unggas itu atas kesungguhan dan minat terhadap bidang penternakan.

Kata pemuda berusia 22 tahun itu, setakat ini dia berjaya membiakkan sekitar 40 ekor burung merpati dan semuanya bermula atas dasar minat semata-mata.

Katanya, dia memilih burung jenis itu kerana terpaut dengan kecantikan dan sifatnya, bagi proses pembiakan dia membuat rujukan termasuk mencari bahan bacaan berkaitan merpati.

“Selepas melakukan sedikit kajian Baru saya tahu merpati ini sebenarnya ada ‘harga’. Usaha pembiakan dibuat menggunakan mesin inkubator kecil sahaja.

“Ternyata ia berhasil dan banyak juga anak merpati yang dibiakkan sehingga boleh dijual,” katanya kepada Melaka Hari Ini, ketika ditemui di Solok Bukit Baru Duyong.

Menurutnya, selepas tiga tahun melakukan pembiakan dia kemudian mencuba nasib dengan menjual telur burung merpati menggunakan aplikasi dalam talian dan ia mendapat sambutan.

“Kekangan burung merpati ini adalah sukar untuk bertelur dan telurnya pula tidak banyak, tidak seperti ayam telur atau burung puyuh. Dalam dua minggu boleh katakan hanya dua biji sahaja bertelur.

“Itu yang menyukarkan, permintaan memang tinggi dan saya terpaksa menjual secara ‘pre-order’ walaupun begitu pelanggan sanggup tunggu,” katanya.

Muhammad Zaki Firdaus berkata, difahamkan terdapat banyak khasiat burung merpati dalam perubatan tradisional antaranya dapat membantu masalah ‘speech delay’ dalam kalangan kanak-kanak.

“Hal ini saya ketahui darpada seorang pelanggan yang berusaha merawat anaknya yang mengalami masalah lambat bercakap. Katanya dia diminta untuk mencari telur burung merpati sebagai alternatif rawatan dan ia berhasil apabila anaknya menunjukkan perubahan.

“Malah ada juga yang membelinya untuk digunakan dalam rawatan tradisional lain. Telur burung merpati saya menjualnya pada harga RM32 sebiji,” katanya.

Dia yang membela burung merpati daripada spesis hias atau merak dan merpati kampung kacuk berkata, selain telur, unggas itu juga dicari untuk tujuan perubatan.

“Selain merpati saya turut membela ternakan lain seperti burung puyuh, itik, ayam ‘Rhode Island Red’ dan ayam kampung kacuk termasuk ayam serama.

“Sebenarnya saya teruskan usaha arwah abang yang sebelum ini dibuat secara kecil-kecilan. Tidak mahu terhenti begitu sahaja, teruskan dan Insya-Allah sekiranya ada rezeki lebih saya ingin membuka ladang sendiri besarkan perusahaan ternakan yang ada ini.

“Ini kerana permintaan untuk setiap ternakan ini tinggi, seperti Aidilfitri baru-baru ini saya mampu menjual 800 biji telur puyuh itu tidak termasuk ayam kampung dan itik,” katanya.

Jelasnya, dia bertuah apabila usahanya itu mendapat perhatian apabila dibawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dia menerima dana pada tahun lalu dan membolehkannya membeli mesin inkubator besar serta mesin mencabut bulu ayam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1174
Kongsi :
Previous post ANAK GAJAH JANTAN MATI DILANGGAR LORI KONTENA DI GERIK
Next post KANAK-KANAK PEREMPUAN DITEMUKAN LEMAS