Sorting by

×

REZEKI WRUR, TUJUH BERANAK BAKAL TERIMA RUMAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SUNGAI UDANG 21 Mei – Sepasang suami isteri tidak menyangka penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang membawa khabar gembira buat mereka apabila dimaklumkan akan menerima kediaman baharu.

Berita gembira itu disampaikan sendiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, ketika menziarahi Mohd Fairuz Baharom, 46, dan isteri Muslihani Urwadi, 47, di rumah pasangan itu Kampung Bertam Ulu, di sini, hari ini, bersempena Program Bandaraya Penyayang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Berkongsi kegembiraan itu Mohd Fairuz berkata, Rumah Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dua bilik yang didiami bersama isteri dan lima anak berusia sembilan hingga 19 tahun bakal dirobohkan dan dibina baharu dalam masa terdekat menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

Menurut Mohd Fairuz, sebagai seorang bapa sudah pasti dia mahukan anak-anaknya membesar dalam sebuah kediaman yang selesa tetapi disebabkan kekangan hidup dan keadaan dirinya yang tidak lagi mampu bekerja akibat kemalangan, hasrat itu terpaksa dilupakan.

“Pada mulanya saya hanya dimaklumkan pihak MBMB akan datang bagi melaksanakan gotong-royong membersihkan persekitaran rumah dan itu sudah cukup menggembirakan kami. Tetapi saya dan isteri mencuba nasib, peluang berjumpa empat mata saya manfaatkan untuk menyuarakan hasrat memohon bantuan tambahan satu bilik kecil kepada Datuk Rais, mungkin sudah rezeki kami tujuh beranak beliau bersetuju dan memaklumkan untuk dibina sebuah rumah baharu buat kami.

“Persetujuan Datuk Rais menyentuh hati dan membuatkan kami terharu, akhirnya tercapai juga hasrat melihat anak-anak membesar dalam sebuah rumah yang lebih selesa. Berita gembira ini seakan mimpi kerana ia perkara yang tidak terduga dan berlaku secara tiba-tiba,” katanya.

Terdahulu, Mohd Fairuz menerima kunjungan Rais merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang bersama Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff ke kediamannya.

Dia memberitahu, WRUR bukan sahaja membawa pemimpin kepada penduduk setempat malah membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyantuni dan menjaga kebajikan rakyat.

“Amat wajar WRUR ini diteruskan kerana ia membawa impak kepada masyarakat. Pemimpin juga dapat melihat secara dekat kehidupan harian yang dilalui oleh rakyat, saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas keprihatinan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

455
Kongsi :
Previous post LANGKAH BERSASAR ATASI MASALAH BANJIR DUN LENDU
Next post PROGRAM BANDARAYA PENYAYANG DEKATKAN PBT DAN RAKYAT