
RIBUT BADAI AYER MOLEK, LEBIH 150 RUMAH TERJEJAS
AYER MOLEK 10 Jun – Ribut petir dan angin kencang yang berlaku awal pagi tadi menyebabkan banyak kawasan terjejas, termasuklah sebahagian besar kawasan Ayer Molek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman memaklumkan, antara yang paling teruk terjejas adalah rumah penduduk di lapan kawasan, antaranya Paya Dalam; Tambak Paya; Bukit Lintang; Ayer Molek; Kampung Balik Bukit; Paya Redan dan Bukit Nibong.
Beliau memaklumkan, berdasarkan laporan diterima lebih 150 kediaman penduduk terjejas membabitkan pelbagai kerosakan seperti bumbung, bekalan elektrik terputus dan lain-lain lagi.
Selain itu, beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri memaklumkan, turut terjejas adalah tiga buah masjid, surau, selain sekolah dan tadika.
“Bantuan segera akan digerakkan bagi membantu kerja-kerja baik pulih di kawasan terjejas.
“Bagi kerosakan membabitkan rumah penduduk, bantuan akan diselaraskan oleh pihak Japerun dan Kerajaan Negeri, sementara untuk sekolah ia di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka.

“Manakala, masjid dan surau terjejas, bantuan akan disalurkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya.
Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi terjejas bagi melihat tahap kerosakan dan bentuk bantuan segera yang boleh diambil.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.