
RIBUT TROPIKA SENYAR: 49 KES POKOK TUMBANG DIREKODKAN
AYER KEROH 28 November – Ribut Tropika Senyar yang sedang melanda beberapa negeri merekodkan sebanyak 49 kes pokok tumbang setakat jam 8 pagi tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 33 kes dilaporkan di Negeri Sembilan, Melaka (lapan), Selangor (lima), Putrajaya (dua) dan Perak (satu).
“Penurunan taraf Senyar daripada fenomena siklon memberi sedikit kelegaan daripada sudut persiapan, namun amaran awal tetap dikeluarkan kepada negeri-negeri dijangka terjejas.
“Walaupun berlaku penurunan had laju angin, kita perlu ingat tanah sudah lembut sejak hujan sebelum lagi, jadi kemungkinan risiko pokok tumbang dan tanah runtuh masih tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Tahun 2025 JBPM di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.
Menurutnya, Kuala Lumpur juga berada dalam jajaran Senyar tetapi sehingga malam tadi JBPM tidak menerima sebarang laporan pokok tumbang.
“Setakat ini hanya Negeri Sembilan direkodkan terjejas teruk, namun negeri-negeri lain boleh dikatakan dalam keadaan stabil.
“Orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan kawasan berisiko tinggi termasuk lokasi rekreasi sepanjang cuti hujung minggu dan cuti sekolah.
“Ini musim Monsun Timur Laut (MTL), jangan ambil risiko jika sudah diberi peringatan, patuhi arahan bagi keselamatan masing-masing. JBPM juga menerima laporan melibatkan satu kematian akibat insiden pokok tumbang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

