
RM1 JUTA ATASI BANJIR LUBOK KASAU – KM
BEMBAN 5 Julai – Kerajaan Negeri memperuntukkan anggaran kos awal sebanyak RM1 juta bagi mengatasi isu banjir di Kampung Lubok Kasau yang dikenal pasti antara lokasi berisiko tinggi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani masalah banjir yang berlarutan hingga menjejaskan lebih 60 buah rumah penduduk di kawasan terbabit.
“Kita telah melihat dan mengkaji kawasan ini melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Langkah awal ini akan disegerakan, Insya-Allah ia mampu menyelesaikan masalah yang sudah lama membelenggu penduduk Lubok Kasau.
“Kerja-kerja yang akan dilaksanakan merangkumi pengaliran sungai, penstabilan tebing serta meninggikan ban sungai sepanjang 2.2 kilometer,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jasin Lalang, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop, barisan Exco, Timbalan Exco serta pegawai kanan Kerajaan Negeri.
Tambahnya, isu banjir merupakan antara keutamaan dalam pelaksanaan Program WRUR DUN Bemban seiring dengan pendekatan Kerajaan Negeri mendekati rakyat.
“Kita memandang serius isu banjir di kawasan-kawasan ‘hotspot’ dalam DUN Bemban dan ia menjadi salah satu fokus utama dalam WRUR di sini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) pula, Kerajaan Negeri turut menerima peruntukan tambahan bagi kerja-kerja membaik pulih beberapa sekolah di kawasan DUN Bemban.
“Sepertimana yang dilakukan di sini, pendekatan ini akan diperluas ke DUN lain dengan fokus menyelesaikan masalah rakyat hingga ke akar umbi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.