Sorting by

×

RM2 SEHARI TINGGAL PUASA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 16 Februari – Melaka mengekalkan kadar fidyah RM2 sehari bagi setiap puasa yang ditinggalkan umat Islam dan tidak diganti sehingga masuk Ramadan berikutnya.

Pegawai Bahagian Wakaf dan Mal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Aisamuddin Abdul Hamid berkata, kadar itu ditetapkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 3 /2022.

Beliau berkata, sama seperti zakat, fidyah juga adalah wajib bagi umat Islam, di mana ia merupakan satu bentuk denda atau hutang kepada Allah SWT bagi sesuatu amal ibadah yang tertinggal atau dilaksanakan secara salah.

Jelas beliau, terdapat beberapa kaedah bayaran fidyah boleh dilakukan, antaranya boleh datang ke Pejabat MAIM atau ia kini boleh dilakukan secara dalam talian menerusi telefon pintar.

“Antara transaksi dalam talian yang boleh dilakukan adalah menerusi portal MelakaPay, selain pembayaran juga boleh dibuat ke akaun Bank Islam MAIM iaitu 04015010085492 atau imbas kod QR Pay MAIM.

“Bagi pengiraan fidyah, mereka boleh datang ke Bahagian Wakaf dan Mal MAIM untuk dibantu pegawai kami, atau umat Islam juga boleh melayari portal rasmi MAIM di maim.gov.my menerusi kalkulator fidyah yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran di Podcast Mana Lagi, Melaka Ler membicarakan soal fidyah di Studio Melaka TV.

Menurut Mohd Aisamuddin, denda fidyah dikenakan ke atas semua umat Islam yang telah baligh, di mana bagi lelaki ia bermula pada usia 15 tahun, manakala wanita bermula pada umur 9 tahun.

Malah, katanya, bagi mereka yang sudah meninggal dunia dan diketahui ada meninggalkan puasa, waris individu itu juga wajib menyelesaikan bayaran fidyah untuk si mati.

“Kadar bayaran ini boleh diketahui dengan datang ke MAIM, di mana pegawai akan menjalankan soal siasat dan kebiasaannya bagi si mati berusia 60 tahun, bayarannya ada berjumlah RM3,000 dan ke bawah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, walaupun sudah membayar fidyah, ia bukan bermakna seseorang umat Islam itu tidak perlu menggantikan puasa, sebaliknya kedua-dua itu masih perlu dilakukan, khususnya bagi mereka yang sihat dan tidak uzur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

421
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI TERUSKAN TRADISI BUBUR LAMBUK
Next post SEJUTA KENDERAAN ATAS JALAN RAYA MELAKA SELAMA SEMINGGU